Page 1 / 1
IHSAN DI ALAM SIBER
03/07/2011 5:46 pm

Moderator
Administrator
Forum Addict


Regist.: 03/03/2011
Topics: 40
Posts: 10
OFFLINE
“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu”

Alam siber di internet ini telah mendedahkan manusia kepada suatu cabaran baru terhadap Ihsan manusia kepada Tuhan. Internet adalah alam yang manusia bebas melakukan apa sahaja, dan ia diburukkan lagi oleh keupayaan manusia menyembunyikan identiti.

Manusia akan mampu menjadi seangkuh-angkuh peribadi, hanya kerana kejahatan lisan dan tangannya, dapat disembunyikan di sebalik nickname dan ID ciptaannya sendiri. Cakaplah apa sahaja, celalah siapa sahaja, kita tetap selamat kerana yang kelihatan hanyalah ID yang tidak beridentiti.

Sebelum zaman ICT menguasai kehidupan, tidak semua manusia berupaya ‘memasarkan’ apa sahaja yang difikirkan. Hanya idea yang berharga sahaja diberi ruang diterbitkan melalui medium-medium yang terhad di zaman itu. Maka manusia tidak sebebas hari ini untuk menconteng pemikirannya dengan sesuka hati, melainkan kualiti isi dan etika bahasa, akan dikawal oleh pihak editor yang mengambil tanggungjawab ini. Maka pemikiran sampah dan akhlak yang cemar, sedikit sebanyak masih terkawal.

Namun, bilamana era penerbitan bahan di internet menjadi percuma, manusia mula meninggalkan pelajaran “mengenal sempadan”. Apa sahaja yang mahu diluahkan, diluahkan dengan penuh kebebasan. Sama ada idea itu muncul dari akal, atau terbit dari hawa nafsu yang mazmumah, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Segalanya percuma dan dengan kemudahan ini, manusia semakin lupa pada nilai akhlak dalam ungkapan idea dan pemikiran. Segala-galanya menjadi lebih buruk dan cemar, apabila sebesar-besar kemungkaran penulisan, terselindung di sebalik identiti dan pengenalan diri yang boleh ditopengkan oleh nickname. Suatu kemudahan yang mudah menjadi pisau yang melukakan.

Tanpa Ihsan yang menyedarkan insan betapa hidupnya di dalam perhatian dan penilaian Tuhan, sikap seperti ini mustahil dapat diubati.

Hanya dengan kesedaran bahawa setiap yang ditulis dan diungkap, bakal menjadi pahala juga dosa, maka manusia akan berundur sendiri dari kejahatan tangan dan lisan, kembali sedar bahawa dirinya diperhatikan Tuhan, selepas terlalu jauh pergi meninggalkan rasa bahawa dia sedang berkelakuan buruk dan baik di hadapan Tuhan.

Sama ada kita bersolat di atas sejadah, atau bekerja di bilik nafkah, atau berceloteh di alam siber, ingatan diri kepada Allah jualah pengawal hakiki terhadap akhlak dan etika diri… seorang hamba yang hidup matinya diuji. Bertaqwalah wahai yang empunya diri, bahawa dirimu dan IDmu tetap diPerhati…
................
“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu” (HR: Bukhari & Muslim)

:: blogger @ http://al-ehsaniah.blogspot.com ::
Quote   
Page 1 / 1
Login with Facebook to post
Preview